PETALING JAYA – Polis hari ini memaklumkan telah membuka kertas siasatan terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy berhubung dakwaan hantaran provokatif di laman sosial miliknya terhadap pihak berkuasa agama negeri Perlis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung satu hantaran Ramasamy di Facebook bertajuk ‘Penukaran Agama Secara Unilateral di Perlis? Perasaan Situasi Yang Berulang Lagi’.
“Hantaran itu mencetuskan rasa tidak puas hati ramai kerana mengaitkan pihak berkuasa agama negeri Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman.
“Setakat ini sebanyak enam laporan polis telah diterima berhubung isu yang sama dan siasatan sedang dijalankan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 504, 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada 13 Februari Ramasamy telah memuat naik hantaran terbabit mengulas berhubung isu hak penjagaan anak-anak Loh Siew Hong.
Tiga beradik berusia 10 hingga 14 tahun itu bersama bapanya telah memeluk agama Islam pada Julai 2020 dipercayai tanpa pengetahuan si ibu, Loh Siew Hong,34 dan berlaku perebutan hak penjagaan. – KOSMO! ONLINE