fbpx

Penduduk bengang lubang bersepah atas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norazura ditemani Muhammad menunjukkan jalan rosak di Kampung Bendang Pulai, Pendang semalam.

PENDANG – Lebih 1,200 penduduk di tiga kampung di sini mengeluh apabila terpaksa menggunakan Jalan Bendang Pulai yang rosak dan berlubang sejak tiga tahun lalu.

Penduduk mendakwa aduan berhubung kerosakan jalan itu telah banyak kali dibuat, namun belum ada kerja-kerja baik pulih dijalankan.

Tiga kampung terlibat ialah Kampung Bendang Pulai, Bukit Tegor dan Bendang Bawah.

Tinjauan mendapati permukaan jalan tersebut tidak rata selain terdapat lebih 10 lubang besar dan kerosakan pada bahu jalan yang pecah.

Penduduk, Muhammad Ibrahim, 27, berkata, jalan itu menjadi laluan utama penduduk ke Bukit Mak Inson atau Kampung Baru di Sungai Tiang.

“Penduduk tiada pilihan lain kecuali menggunakan jalan yang rosak itu untuk pergi bekerja, memasarkan tanaman dan hantar anak ke sekolah.

“Keadaan jalan yang berlubang dan bertakung air sangat berbahaya terutama kepada penunggang motosikal,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, masalah jalan rosak itu juga menyebabkan kenderaan penduduk sering rosak.

Seorang lagi penduduk, Norazura Jat, 40, berkata, kemalangan kerap berlaku di jalan berkenaan.

“Jalan yang berlubang ini sa­ngat berbahaya dilalui terutama pada waktu malam, jadi saya harap jalan ini segera dinaik taraf,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tiga kampung tersebut, Abdul Rashid Ismail, 56, berkata, pihaknya kesal dengan kelewatan tindakan membaik pulih jalan itu sehingga kini.

“Saya telah membuat laporan kepada pihak berkaitan, namun tiada tindakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI