LONDON – Gandingan dua penggempur sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane dan Son Heung-min berpeluang untuk memecahkan rekod Liga Perdana Inggeris sekiranya mereka mencipta kombinasi jaringan menentang Burnley awal pagi esok.
Spurs bakal turun menentang Burnley di Turf Moore dengan motivasi yang cukup tinggi terutama selepas melakar kejutan menewaskan Manchester City 3-2 di Etihad Ahad lalu.
Ketika mencatat kemenangan tersebut, Heung-min berjaya mencipta satu umpanan gol apabila melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti yang berjaya disudahkan oleh Kane.
Musim lalu menyaksikan kedua-dua pemain itu sangat cemerlang mencipta umpanan untuk satu sama lain, namun musim ini mereka hanya berjaya melakukannya sebanyak dua kali sahaja termasuk ketika aksi menentang City itu.
Umpanan yang dilakukan Heung-min dan disudahkan oleh Kane pada perlawanan itu menyaksikan mereka kini sudah menyamai pencapaian yang dilakukan oleh dua bintang Chelsea sebelum ini, Didier Drogba dan Frank Lampard iaitu sebanyak 36 kali.
Kedua-dua mereka berpeluang untuk melakukannya pada aksi menentang Burnley nanti.
Musim lalu menyaksikan Kane dan Heung-min memecahkan rekod kombinasi gol semusim dipegang oleh dua legenda Newcastle United, Alan Shearer dan Chris Sutton yang meraih 13 gol apabila mereka bekelebihan dengan satu jaringan. – AGENSI