PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan pelajar asrama bersama-sama mengumpul duit bagi membelikan sebuah telefon pintar untuk rakan mereka menyentuh hati orang ramai.
Sebuah video berdurasi satu minit 33 saat yang dikongsi seorang pengguna TikTok, _frhbikhwn memaparkan saat-saat telefon pintar itu diberikan kepada penerimanya turut menjadi tular di media sosial.
Melalui video tersebut, turut kelihatan penerima telefon pintar itu menangis kerana terharu dengan pemberian rakan-rakannya itu,
Tinjauan Kosmo! di ruang komen rata-rata pengguna memuji persahabatan antara semua pelajar-pelajar tersebut.
“Lega lihat pelajar asrama begini. Kalian benar-benar mengubah persepsi saya tentang sekolah berasrama,” kata Nuraaismi.
“Saya seorang guru pun bangga dengan kamu semua. Teruskan usaha buat baik ya anak-anak semua,” kata Teacher Sue.
“Sebak tengok semangat setia kawan semua pelajar ini. Mesti kawan itu akan kenang sampai bila-bila,” kata Fahmi.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 700,000 kali dan mendapat lebih 100,000 tanda suka. -KOSMO! ONLINE.