fbpx

Pan-gon tidak mudah dipengaruhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU ISMAIL menerima kunjungan hormat barisan kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya yang diketuai oleh Pan-gon di kelab JDT di Johor Bahru kelmarin. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

PENGENDALI import baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dianggap sebagai salah seorang jurulatih yang bijak dan pemikirannya dijangka tidak akan mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Pandangan tersebut disuarakan oleh pemerhati sukan negara, Dr. Pekan Ramli susulan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menghantar ‘rombongan’ barisan kejurulatihan baharu melawat fasiliti Johor Darul Ta’zim (JDT) kelmarin.

Kata Pekan, apa yang dilakukan oleh FAM untuk membawa Pan-gon dan barisan kejurulatihannya adalah sesuatu yang wajar serta positif untuk dibuat tanpa perlu dipandang serong oleh mana-mana pihak.

“Saya anggap lawatan delegasi barisan kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya yang me­lawat fasiliti JDT selain bertemu dengan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah langkah yang positif.

“Kita boleh lihat daripada situ Pan-gon mungkin boleh menilai jurang tinggi pasukan JDT yang sudah mencapai status antara terbaik di Asia dengan kelab-kelab lain di negara ini.

“Justeru, tidak wajar untuk kita pandang negatif dan saya percaya Pan-gon seorang jurulatih yang bijak bahkan dia bukan mudah untuk dipengaruhi dan paling penting, pemilihan pemain yang bakal dilakukan nanti pasti lebih telus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin serta Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell bersama barisan kejurulatihan skuad kebangsaan, Kim Pan-gon telah melawat Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor Bahru dan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Pu­teri kelmarin.

Menurut kenyataan FAM, kunjungan tersebut adalah bagi melihat sendiri fasiliti dan kemudahan latihan dimiliki kelab berkenaan. Ketibaan mereka te­lah diiringi oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

Kemudian mereka turut bertemu dengan Tunku Ismail yang juga bekas Presiden FAM untuk berkongsi bicara mengenai bola sepak termasuk mengenai pe­ranan yang dimainkan oleh skuad Harimau Selatan dalam memajukan bola sepak di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI