PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kemuka tiga janji kepada warga Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang menerusi tema yang dikenali Aspirasi Johor.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga janji berkenaan termasuk pembinaan kerajaan yang adil untuk semua, melawan gejala rasuah dan menghapuskan nilai hidup ‘tidak berasa malu’ untuk melakukan kesalahan.
Beliau berkata, Pejuang berazam untuk tidak mengenepikan kaum lain jika diberi peluang memerintah Johor biarpun dikenali sebagai sebuah parti politik Melayu.
“Kami juga akan berjuang melawan rasuah habis-habisan bagi mengurangkan kesan ketara terhadap ekonomi, politik dan sosial dalam negara.
“Kita juga mahu menghapuskan nilai hidup yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) iaitu tidak perlu malu (dengan perbuatan salah),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Aspirasi Johor, di sini hari ini.
Katanya, Pejuang juga berhasrat mengubah haluan negara daripada hanya bergantung kepada pelaburan asing kepada pelaburan domestik secara besar-besaran.
Mahathir berkata, negara perlu memanfaatkan dan meneroka sumber ekonomi tempatan sebelum mengeksportnya ke luar negara sebagai sebuah produk berkualiti.
“Malaysia mempunyai sumber getah, minyak sawit, bijih timah dan ‘rare earth’ yang akan jadi satu punca kekayaan jika ia dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, jika Pejuang diberikan pilihan menjadi kerajaan, sembilan aspirasi akan diusahakan iaitu Johor yang bersih, cekap, amanah dan bermaruah; ekonomi rakyat tempatan diutamakan; merapatkan jurang ekonomi antara daerah; meraikan bakar anak muda dan Johor yang tidak meninggalkan sesiapa.
“Aspirasi lain termasuk Johor jaga alam, alam jaga kita; Johor penjaga Selat Melaka; Johor pusat ekonomi selatan dan Rakyat Johor diutamakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.