LONDON – Mayat seorang wanita yang mereput di dalam rumahnya selama lebih dua tahun berjaya dikenal pasti oleh pihak polis, lapor akhbar The Sun UK, semalam.
Sheila Seleoane, 61, ditemui di atas sofa ruang tamu rumahnya selepas jiran-jiran lebih 50 kali mengadu mengenai bau aneh seperti daging membusuk dari kediaman tersebut.
Lalat juga kedengaran berdengung di rumah pangsa itu dan dilihat keluar dari tingkap selain ulat-ulat juga memasuki rumah lain, jelas penghuni lain di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, mereka diberitahu bahawa bau itu berpunca daripada masalah longkang dan tiada siapa mahu datang untuk menyiasat. Wanita itu juga dikatakan telah keluar daripada kediaman terbabit.
Seleoane ditemui pada Jumaat lalu apabila polis bertindak memecahkan pintu rumahnya di daerah Pechham, Selatan London. Dia dikatakan berhutang sewa beribu-ribu ringgit selain peti suratnya juga penuh.
Jiran Seleoane, Ayesha Smith menegaskan bahawa dia menghubungi persatuan perumahan itu sekurang-kurangnya 50 kali tetapi tiada tindakan sulsulan dilakukan.
Polis Metropolitan berkata bahawa kematian wanita terbabit dianggap sebagai tidak dapat dijelaskan tetapi tidak mencurigakan. Fail siasatan akan dibuka terhadap kes berkenaan. – Agensi