KUALA LUMPUR – Sebuah bangunan dalam pembinaan terbakar akibat letupan dua tong gas di Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, di sini petang ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.17 petang.
“Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dan BBP Jalan Hang Tuah bersama dua buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati bangunan dalam pembinaan terbabit terbakar sehingga 70 peratus bangunan itu musnah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran dapat dikawal pada pukul 2.30 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.59 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.