fbpx

KPT-Uniten, Negeri Sembilan sama hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURAMIRAH (kanan) gagal mencipta nama selaku penjaring gol ketika menentang KPT-Uniten pada aksi MHL di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – KPT-Uniten Thunderbolts berjaya meraih satu mata berharga apabila seri 1-1 dengan Negeri Sembilan pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Biarpun seri, namun ia tetap dilihat sebagai satu keputusan memuaskan buat KPT-Uniten yang turun selaku tuan rumah dalam perlawanan itu.

Apatah lagi selepas skuad bimbingan Ikmal Abdul Jabbar itu terlebih dahulu ketinggalan seawal minit pertama permainan menerusi Ellya Syahirah Ellias yang berjaya memanfaatkan pukulan sudut penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, KPT-Uniten bangkit memperkemaskan permainan dan berhasil meraih gol penyamaan melalui Surizan Awang Noh berselang empat minit kemudian.

Bagaimanapun, rentak kedua-dua pasukan untuk mencari gol seterusnya terjejas apabila pengadil terpaksa menangguhkan permainan pada minit kesembilan kerana hujan lebat di Stadium Hoki Nasional.

KPT-UNITEN (jersi merah) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ke atas Negeri Sembilan (jersi kuning) pada aksi di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. – MHC

Selepas perlawanan kembali dilangsungkan sejam kemudian, KPT-Uniten terpaksa bekerja keras menahan asakan bertali arus daripada Negeri Sembilan terutama melalui dua penyerang kebangsaan, Hanis Nadiah Onn dan Nuramirah Syakirah Zulkifli.

Negeri Sembilan berpeluang meraih tiga mata apabila pengadil menganugerahkan penalty stroke kepada skuad bimbingan K. Rajan itu selepas mendakwa bola terkena belakang kayu (back stick) kapten PKT-Uniten, Raja Nursharina Raja Shabuddin.

Tuah memihak kepada KPT-Uniten apabila pengadil membatalkan keputusannya itu selepas melihat semula insiden tersebut melalui sistem Video Referral sekali gus kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan seri itu juga menyaksikan KPT-Uniten dan Negeri Sembilan masih kekal tanpa kalah selepas tiga perlawanan setakat ini.

Dua lagi keputusan lain hari ini menyaksikan Sarawak Ladies menang 1-0 ke atas Mutiara Impian MSSPP-PSHA, manakala skuad pembangunan negara tumbang 1-3 kepada Sabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN