fbpx

KPDNHEP gagalkan penyelewengan diesel bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa peralatan digunakan pihak tidak bertanggungjawab ketika serbuan tersebut semalam.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam dua serbuan ke atas sebuah stesen minyak dan kawasan tapak pembinaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM178,347.85.

Serbuan melibatkan sembilan anggota penguat kuasa KPDNHEP itu bermula pukul 9 pagi semalam ke atas stesen minyak di Jalan Pintasan Dengkil-Putrajaya dan sebuah kawasan tapak pembinaan terletak bersebelahannya yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, ketika serbuan dilakukan ke atas stesen minyak tersebut, terdapat sebuah lori yang telah diubah suai sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di salah sebuah pam stesen minyak berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, minyak diesel yang diisi ke dalam tangki yang telah diubah suai pada lori tersebut disyaki disambungkan atau disalurkan terus ke sebuah tangki di kawasan tapak pembinaan melalui saluran separa kekal bawah tanah, menghubungkan antara tangki lori itu kepada sebuah tangki lain.

“Susulan itu, pasukan serbuan telah mengambil tindakan dengan menyita sejumlah 64,400 liter minyak diesel dari dua tangki masing-masing terletak dalam bawah tanah di stesen minyak tersebut dan sebuah lagi di dalam kawasan tapak pembinaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, sitaan turut melibatkan sebuah lori berkapasiti empat tan, saluran paip getah, sebuah compressor, satu set dekoder televisyen litar tertutup (CCTV) dan invois/resit jualan berserta dokumen perniagaan yang lain bagi tujuan siasatan lanjut.

Ujarnya lagi, dua individu lelaki warga tempatan masing-masing berumur 35 tahun yang mengaku sebagai pengurus dan penyelia tapak pembinaan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Azman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula dari stesen minyak ke tapak pembinaan seterusnya ke peringkat pembeli. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI