SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal di Bernam Indah, Kepala Batas di sini terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan semata-mata untuk mencari rezeki bagi menyara tujuh anaknya yang masih kecil.
Noor Hayati Md. Noh, 47, yang berasal dari Bachok, Kelantan itu berkata, kehidupan semakin sukar sejak pandemik Covid-19 dua tahun lalu sehingga memaksa dia melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Antara kerja yang saya buat termasuk mengambil upah mencuci tandas sekolah dan rumah, menghantar murid sekolah sekitar Kepala Batas, buat tempahan makanan, ambil upah menjahit tudung, buat gubahan hantaran serta menjadi stokis produk kesihatan dan bahan pencuci.
“Upah yang saya dapat ketika mencuci tandas sekolah kira-kira RM20 sehari, kalau cuci rumah boleh dapat RM80 sebulan, namun bergantung kepada bilangan rumah yang saya pergi.
“Malah, hasil pelbagai pekerjaan itu, saya kumpul sikit-sikit untuk membeli keperluan dan kelengkapan sekolah anak-anak, selain dijadikan modal minyak kereta untuk bergerak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya baru-baru ini.
Katanya, perasaan malu melakukan pelbagai pekerjaan sudah tiada dalam diari hidupnya asalkan dia memperoleh rezeki yang halal demi anak-anak.
“Rutin harian saya cukup padat. Dalam sehari saya hanya tidur kira-kira tiga jam kerana tuntutan pekerjaan. Namun, saya tidak sesekali melupakan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Pada waktu malam pula, jika ada orang memerlukan pengangkutan ke satu-satu tempat saya sanggup terima. Bukan bermaksud mengejar wang, tetapi saya mahu berdikari tanpa mengharapkan simpati orang.
“Semua ini saya lakukan demi anak-anak yang masih bersekolah, yang kesemuanya berusia antara tujuh hingga 17 tahun. Anak sulung perempuan berusia 21 tahun pula sudah berkeluarga,” katanya yang berpisah dengan bekas suaminya sejak 2015.
Noor Hayati menambah, sejak bercerai, dia terpaksa bekerja keras selain melalui ujian hidup termasuk mencatu makanan bagi memastikan semua anaknya boleh mengisi perut.
“Meskipun kami hanya tinggal di sebuah rumah sewa kos rendah, kami sekeluarga amat bersyukur kerana ada pihak yang prihatin sudi meringankan beban yang ditanggung seperti Zakat Pulau Pinang, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal dan Persatuan Ibu Tunggal Kepala Batas.
“Dengan bantuan yang diperoleh, sedikit sebanyak dapat bayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan serta dapat melunaskan beberapa komitmen bulanan yang lain,” katanya yang merupakan ahli Persatuan Ibu Tunggal Kepala Batas sejak tahun 2019.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank miliknya 1574-1008-5822 atau hubungi Noor Hayati di talian 011-5505 5134.