fbpx

Jurulatih tempatan main peranan penting bantu Pan-gon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SATHIANATHAN menegaskan bahawa pembantu jurulatih tempatan perlu tahu dan masak dengan bola sepak di Malaysia dan harus diperjelaskan kepada Pan-Gon.

JURULATIH tempatan yang bakal mengisi slot pembantu kepada Kim Pan-gon bakal memikul tanggungjawab secara menyeluruh dan tidak hanya terhad kepada aspek teknikal dalam setiap latihan.

Berbeza dengan empat individu yang dibawa Pan-gon, jurulatih tempatan akan berperanan secara lebih menyeluruh sekali gus mampu melicinkan proses pembaharuan yang akan dibawa oleh pengendali dari Korea Selatan itu.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan berkata, selain da­ripada pemahaman bola sepak terkini, jurulatih tempatan yang akan dipilih juga perlu menggalas tugas luar bidang teknikal.

“Selain dari aspek komunikasi, pembantu jurulatih tempatan perlu tahu dan masak dengan bola sepak di Malaysia. Dia perlu faham budaya di negara ini dan harus diperjelaskan kepada ketua jurulatih perkara apa yang mungkin sensitif atau tidak.

“Bukan kata tidak perlukan aspek teknikal kerana ia juga pen­ting untuk menyampaikan apa yang dimahukan ketua jurulatih kepada pemain. Jadi, individu itu perlu faham bola sepak moden dan perlu cepat faham apa yang dimahukan oleh ketua jurulatih.

“Banyak perkara yang perlu dilakukan. Individu dipilih juga harus sedia beri idea, namun paling utama jurulatih itu harus mengutamakan apa yang dimahukan ketua jurulatih dan terus berikan sokongan dalam setiap perancangan diatur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kehadiran Pan-gon yang diberikan kontrak dua tahun turut disertai empat ‘orang kanannya’ iaitu penolong jurulatih, Pau Marti Vicente, Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gorkhan Kandemir (jurulatih kecergasan), Lim Jaehun (jurulatih analisis) dan seorang lagi pembantu yang bakal diisi jurulatih tempatan, berkemungkinan diumumkan minggu depan.

Sebelum ini, Pan-gon optimis dengan potensi Harimau Malaya yang dilihat mampu kembali menggegar arena bola sepak antarabangsa selepas dilihat kurang bermaya sebelum ini.

Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini bakal menjadi ujian pertama bekas pengendali Hong Kong itu dan Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kumpulan yang bakal dihuni Harimau Malaya susulan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini.

Undian akan dilakukan pada Khamis ini dan Malaysia dile­takkan dalam Balang 3 bersama Afghanistan, Yemen, Myanmar, Maldives dan Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI