PENGKALAN HULU – Kegiatan penyeludupan rokok berjaya dikekang sekali gus mengurangkan ketirisan cukai negara menerusi keberkesanan termasuk penguatkuasaan di sempadan.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah, kejayaan tersebut hasil pendekatan yang dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi.
Menurut beliau, kerajaan menerusi Pasukan Bertindak Pelbagai Agensi (MATF) telah digembleng dan melakukan inisiatif pencegahan secara bersama.
“Pada tahun lalu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas rokok seludup dengan nilai sebanyak RM30.91 juta manakala nilai cukai RM226.26 juta.
“Berbanding tahun 2020 pula nilai rampasan rokok seludup adalah RM74.96 juta dengan nilai cukai sebanyak RM661.6 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Kompleks ICQ Pengkalan Hulu, Bukit Berapit, Hulu Perak di sini.
Hadir sama Pengarah Kastam negeri Perak, Datuk Mohamad Saprin.
Terdahulu, beliau hadir sempena Jelajah Pasca Bajet dan meninjau penugasan di Kompleks ICQ Pengkalan Hulu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang persediaan bagi pembukaan semula sempadan negara, kata Mohd. Shahar, fokus pihaknya adalah bagi mengelak ketirisan cukai.
“Kebimbangan kita ialah tidak mahu hasil negara mengalir keluar dan tidak dapat dimanfaatkan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE