PENURUNAN mendadak populasi koala menyebabkan Australia menetapkan haiwan itu kini sebagai spesies terancam.
Populasi haiwan itu terjejas kerana pembukaan tanah, kebakaran hutan, kemarau, dan penyakit.
Sehubungan itu, Australia digesa untuk melakukan lebih banyak usaha bagi melindungi habitat koala daripada perubahan iklim semasa.
Selain itu, spesies itu juga telah dinyatakan sebagai ‘rentan’ di beberapa negeri dan wilayah di negara itu pada 2012.
Dalam hal ini, pihak kerajaan dituduh lambat untuk bertindak untuk menyelamatkan spesies itu oleh aktivis alam sekitar.
Menteri Alam Sekitar, Sussan Ley berkata, kerajaan sedang merangka pelan pemulihan dan aplikasi pembangunan tanah dan akan dinilai untuk melihat kesan ke atas spesies itu.
“Kita akan memberi keutamaan dalam usaha pemuliharaan koala,” katanya.
Dalam pada itu, pada tahun lalu, penyelidik di New South Wales mendapati koala di sana akan pupus menjelang 2050, melainkan tindakan segera diambil.
Dianggarkan kebakaran hutan pada 2019 hingga 2020 telah membunuh lebih 5,000 koala dan menyebabkan kerosakan lebih 24 peratus habitat haiwan itu di New South Wales sahaja.