CANBERRA – Seorang hakim Australia meluluskan permintaan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun untuk menjadikan patung beruangnya sebagai anak angkat secara rasmi, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Pakar psikologi dan akademik, Dr. Stephen Bright berkata, anak saudaranya telah menulis surat kepada Mahkamah Keluarga Australia Barat untuk menjadikan enam anak patung beruang kegemarannya sebagai anak angkat.
Hakim kemudian membalas surat berkenaan yang memaklumkan bahawa permintaan anak kecil itu telah diluluskan di bawah ‘Akta Teddy Antarabangsa 1908’.
“Permohonan telah dibuat di bawah Akta Teddy Antarabangsa 1908 untuk perintah anak angkat iaitu Mr Denham, Baby Denham, Brown Bear, Bamboo, Special Teddy Jnr dan Tiny yang tinggal di Australia Barat.
“Adalah diperintahkan supaya Mr Denham, Baby Denham, Brown Bear, Bamboo, Special Teddy Jnr dan Tiny diambil sebagai anak angkat untuk dilayan dengan penuh kasih sayang seperti kanak-kanak dan anak patung,’’ demikian perintah mahkamah tersebut.
Dr. Bright berkongsi gambar dokumen tersebut di laman Twitter dan memuji mahkamah atas kebaikan mereka. – Agensi