Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB
KUANTAN – Isteri kepada seorang nelayan yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak menyangka menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Suri rumah, Maimon Ismail, 58, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan pihak Perkeso tentang pencen bulanan yang bakal diterimanya susulan kematian suaminya Safie Ismail,58, yang dijangkiti Covid-19 pada Julai tahun lalu.
“Arwah suami hanya bekerja sebagai nelayan dan pastinya tidak mempunyai sebarang caruman, saya tidak tahu Allahyarham ada membuat caruman sendiri dengan Perkeso dan hanya tahu apabila dimaklumkan pihak Perkeso selepas kematiannya.
“Sedikit sebanyak dengan adanya pencen ini ia dapat membantu menampung keperluan kami dan paling penting membiayai pelajaran anak bongsu yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT),”katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan faedah Perkeso oleh Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar di Wisma Perkeso di sini hari ini.
Allahyarham Safie Ismail disahkan meninggal dunia pada Julai tahun lalu selepas dijangkiti virus itu ketika bekerja mengumpul hasil tangkapan laut di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kemunting, dekat sini.
Sementara itu Tarmizi berkata, isteri Allahyarham Safie layak menerima faedah kerana allahyarham mencarum di bawah skim perlindungan pekerjaan beberapa tahun lalu.
“Berdasarkan laporan, Allahyarham mendapat jangkitan penyakit berjangkit itu ketika bekerja sebagai pengumpul hasil tangkapan di kompleks LKIM.
“Jadi penerima iaitu isterinya layak menerima faedah pengurusan mayat dan faedah pencen secara bulanan kerana suaminya itu mendapat jangkitan ketika sedang bekerja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE