PETALING JAYA – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berada dalam keadaan baik susulan disahkan positif Covid-19 semalam.
Perkara itu disahkan olehnya sendiri dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi kenyataan tersebut, Hishammuddin dinasihatkan agar menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan.
“Bagi memastikan tahap kesihatan saya terus berada pada tahap memuaskan, saya dinasihatkan untuk menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
“Saya terima banyak mesej ucapan dan doa sejak semalam dan saya memohon
maaf kerana tidak dapat membalas kesemuanya,” katanya.
Menurut Hishammuddin, dia amat menghargai setiap ucapan semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesembuhannya.
“Bagi pihak ahli keluarga, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesembuhan saya.
“Semoga ia dimakbulkan oleh Allah,” ujarnya.
Terdahulu, dalam satu kenyataan yang disahkan oleh Pejabat Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin dilaporkan sudah menerima dos penggalak dan akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan semasa yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM). – KOSMO! ONLINE