fbpx

Ditipu lebih RM5,000 angkara pinjaman tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUANTAN – Gara-gara terdesak mahu membuat pinjaman wang, seorang lelaki berusia 45 tahun kerugian RM5,360 selepas ditipu dengan tawaran pinjaman wang tidak wujud yang menggunakan nama sebuah bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada 18 Februari lalu apabila mangsa melihat satu iklan tawaran pinjaman wang di media sosial Facebook.

“Selepas menekan pautan pada iklan terbabit, keesokkannya mangsa menerima mesej menerusi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai wakil bank berkenaan dan akan menguruskan permohonan pinjaman terbabit.

“Selepas semakan dibuat, suspek memaklumkan mangsa layak untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000 selain meminta mangsa membuat perjanjian pinjaman selama tujuh tahun selepas mangsa bersetuju membuat pinjaman itu dengan bayaran sebanyak RM134.71 sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir suspek kemudiannya meminta mangsa membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan pinjaman berkenaan seperti bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yuran membuka akaun, bayaran mengaktifkan akaun serta bayaran bulanan selama lapan bulan.

Katanya mangsa yang bersetuju dengan syarat yang ditetapkan telah membuat bayaran sebanyak RM5,360 menerusi empat kali transaksi ke dua akaun bank berbeza.

“Namun suspek masih meminta mangsa membuat bayaran lagi sebanyak RM2,000 menyebabkan mangsa mula berasa curiga dan telah merujuk perkara itu kepada bank berkenaan.

“Pihak bank telah menafikan perkara itu dan mangsa menyedari ditipu dan datang membuat laporan polis di balai polis Penjom di sini,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI