fbpx

Bermodalkan RM2,000, Proton Iswara jadi trak pikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan perubahan pada Proton Iswara yang dijadikan trak pikap.

PETALING JAYA – Setiap orang mempunyai bakat dan kreativiti yang tersendiri dan mampu menghasilkan sesuatu di luar kemampuan orang lain.

Dengan bermodalkan RM2,000, seorang bapa telah berjaya mengubah suai Proton Iswara lamanya menjadi sebuah trak pikap yang unik.

Menerusi perkongsian seorang pengguna yang lebih mesra dikenali sebagai Fii, telah memuat naik satu video di YouTube dengan menceritakan perjalanan proses ubah suai kenderaan tersebut.

Menurut Fii, bapanya mula mendapatkan idea untuk membuat trak pikap sendiri apabila mengalami kesukaran membawa alatan pertukangannya bagi kegunaan kerja menukang.

Jelasnya, projek mengubah suai kenderaan milik bapanya itu bermula pada bulan Disember tahun lepas dan memperuntukkan masa kira-kira sebulan untuk siap.

“Hasil kreativiti bapak aku.

“Sejak dia ada kerja menukang, dengan selamba dia potong kereta dia jadikan trak pikap.

“Buat badan kereta sebulan lebih juga ambil masa buat sendiri kat rumah dan senanglah dia nak angkat barang nanti,” kongsinya.

Tambahnya lagi, kos pengubahsuaian sangat murah kerana setiap komponen-kompenen yang digunakan oleh bapanya adalah daripada barangan terbuang.

Katanya, bapanya hanya merujuk video di YouTube dalam menghasilkan sebuah kenderaan baru serta mengaplikasikan bakatnya yang sedia ada kerana berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang membaik pulih kenderaan.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna lain turut kagum dengan hasil ciptaan bapanya itu.

“Wah, kemas, modal rendah dapat kereta mahal, memang berguna orang yang ada bakat seni dan kreatif macam ini,” kata Amirul Rosdi.

“Pak cik, ayah saya ada kereta lama yang tak diguna, boleh buatkan macam ini juga tak, senang nak beli barang banyak,” seloroh seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI