fbpx

Bayi 15 bulan meninggal di rumah pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan dengan kepalanya tersangkut pada buaian ketika di rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.

Bayi tersebut, Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang oleh doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Sendayan selepas pengasuhnya mendapati dia gagal bernafas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil siasatan awal mendapati selepas bayi itu diberikan susu pada pukul 12.30 tengah hari mangsa telah ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain.

“Selepas itu pengasuh telah keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk tujuan tugasan lain kemudiannya pada 3 petang pengasuh telah masuk semula ke bilik dan mendapati bayi itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.

“Pengasuh terus mengambil bayi itu dari buaian dan menjalankan ujian proses bantuan pernafasan (CPR), tetapi dia gagal bernafas semula dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nanda, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan rumah penjagaan atau pengasuh kanak-kanak.

“Bayi itu telah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh di mana bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada dalam buai.

“Ketika kejadian, dua pengasuh berada di dalam rumah bersama-sama 15 orang kanak-kanak lain termasuk bayi itu,” katanya yang memberitahu tempat kejadian tidak sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Nanda berkata, rumah pengasuh itu yang dimiliki oleh kedua-dua pengasuh telah beroperasi sejak penghujung tahun 2019 dan menjaga kanak-kanak berusia enam bulan hingga tujuh tahun.

Tambah beliau, bayi itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk tujuan bedah siasat pagi ini dan sehingga kini masih tidak diketahui punca sebenar kematian mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI