KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pemuda untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan kambing berkecai apabila menjadi mangsa penipuan online dengan kerugian RM13,500 pada Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, RM13,500 itu merupakan wang pendahuluan bagi pembelian 50 ekor kambing yang sepatutnya diterima lelaki berusia 25 tahun terbabit.
Beliau berkata, lelaki berkenaan mendakwa tertarik dengan iklan penjualan kambing yang telah dimuat naik seorang peniaga menerusi media sosial pada Sabtu lalu.
“Berdasarkan iklan yang dimuat naik di laman Facebook terbabit, individu itu menawarkan kambing dengan harga jualan RM570 seekor termasuk kos penghantaran.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa menghubungi suspek sebelum membayar wang deposit RM13,500 pada hari sama dengan jaminan kambing-kambing akan dihantar pada Isnin lalu (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Zambri berkata, begitupun, 50 ekor kambing yang dipesan tidak sampai seperti dijanjikan dan suspek memberi alasan ia disebabkan kerana pemandu lori terlibat dijangkiti Covid-19.
Tambah beliau, peniaga online kemudiannya berjanji untuk memulangkan semula wang pendahuluan, RM13,500 kepada mangsa apabila didesak.
“Begitupun, suspek bukan sahaja gagal menetapi janjinya sekali lagi malah tidak menjawab panggilan serta menyekat terus nombor telefon bimbit mangsa termasuk menerusi aplikasi WhatsApp.
“Lelaki itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam,” katanya.
Zambri berkata, siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE