fbpx

Pemain badminton kita ‘junior’, tetapi miliki kualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan badminton lelaki Malaysia dinobatkan sebagai juara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022, di Pusat Konvensyen Setia City baru-baru ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON
MOHD. HAIKAL ISA, WARTAWAN EKSEKUTIF

SKUAD badminton lelaki tanah air melakar sejarah tersendiri apabila buat kali pertama menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Dalam pada Malaysia mengu­bat kekecewaan edisi terdahulu apabila menundukkan juara bertahan, Indonesia, ramai juga dalam kalangan peminat sukan tersebut cuba menidakkan kejayaan yang berjaya dilakar.

Ada yang melemparkan nis­ta kononnya pasukan negara berdepan jalan mudah berikutan kebanyakan negara hanya ‘mencuba nasib’ dengan skuad junior masing-masing.

Bukan terlalu ingin mempertahankan pasukan negara, namun kejayaan yang dilakar Lee Zii Jia dan rakan-rakan lain tidak datang bergolek. Mereka bermain bermati-matian dan sepenuh keringat untuk memastikan kejuaraan buat Malaysia.

Ada yang memberi analogi bahawa skuad Indonesia dibarisi pemain junior dan sebenarnya, realiti sama juga buat pasukan Malaysia. Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia baru berusia 24 tahun dan seterunya pada perlawanan akhir, Chico Aura Dwi Wardoyo juga usianya sama.

Usia perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong dengan lawannya, Ikhsan Rumbay juga berdiri pada angka sama iaitu 22 tahun.

Senario lebih kurang sama buat bergu lelaki utama tanah air dengan lawan mereka. Jus­teru, apa yang berbeza? Setuju atau tidak, pemain kita sudah diberikan pendedahan awal di peringkat antarabangsa pada usia muda dan kini berada dalam senarai ranking terbaik dunia.

Masih jauh perjalanan dan tidak mahu terlalu mendabik dada, namun Malaysia sebenar­nya berada di landasan terbaik dapat melahirkan ramai pemain pelapis yang berkualiti.

“Kita tidak boleh terlalu gembira sangat selepas muncul juara kerana negara lain membariskan pasukan kedua. Saya sendiri
ingatkan diri sendiri agar tidak terlalu mendabik dada.

“Kita muncul juara dan boleh meraikannya tetapi tidak perlu terbawa-bawa sangat.

“Kita harus segera melakukan persiapan untuk saingan Piala Thomas kerana pasukan lain akan membariskan pemain terkuat mereka,” kata Zii Jia yang berada ranking ketujuh dunia.

Sejujurnya, terbit rasa bangga buat pasukan badminton tanah air terutama Zii Jia kerana walaupun berdepan pelbagai isu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mereka kekal mempamerkan prestasi terbaik demi negara tercinta.

Bukan hanya skuad lelaki, bahkan skuad wanita yang meraih gangsa pada BATC 2022 turut menampilkan aksi luar biasa, sekali gus menyaksikan badminton sebagai sukan paking berjasa buat negara.

Secara realiti dan kalau ikut sifir kualiti, inilah sukan nombor satu negara. Bukan bola sepak yang sememangnya popular, namun prestasi masih jauh bertahap global atau dunia.

Seperkara lagi, keputusan Zii Jia untuk tidak lagi bernaung di bawah BAM membuktikan bahawa orang muda, tenaga masih ‘baharu’ dan khidmat masih dita­gih, bebas dan berani untuk me­lakukan sesuatu yang baharu.

Kalau Loh Kean Yew dari Singapura boleh bergelar juara dunia kendatipun tanpa fasiliti ‘tip top’, Zii Jia juga mempunyai kudrat sama. Dia pastinya akan kekal bangga menyarung jersi Malaysia.

Liku berikutnya, Piala Thomas dan Piala Uber! Semoga kejayaan terus mengiringi langkah skuad badminton tanah air. Kalau menang, layak dilambung dan kalau gagal, ingatlah bahawa setiap apa usa­ha dicernakan adalah apa yang terbaik. Itulah semangat sukan sebenar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI