fbpx

Pan-gon pilih Elavarasan sebagai pembantu jurulatih tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELAVARASAN menjadi anak tempatan yang dipilih oleh Pan-gon sebagai pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya.

TEKA-teki mengenai ‘anak tempatan’ yang bakal menjadi penolong ketua jurulatih kepada Kim Pan-gon akhirnya terjawab selepas pengendali import dari Korea Selatan itu memilih E. Elavarasan sebentar tadi.

Sebagai rekod, Elavarasan bukan nama asing dalam arena bola sepak tanah air dan sudah lebih 20 tahun menjadi pengendali dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Pan-gon mengakui keputusan untuk melantik bekas pengendali Sarawak United itu cukup mudah kerana menepati kriteria utama yang dikehendaki selain mengenali ramai pemain tempatan tidak kira dalam kempen Liga Super atau Liga Premier.

“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan dan beliau adalah calon terbaik untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.

“Selain itu, Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Elavarasan yang kini berusia 60 tahun mengakui teruja apabila diberi kepercayaan untuk bekerja di bawah badan induk bola sepak negara, sekali gus menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Malaya buat kali pertama dalam kariernya.

“Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan-gon.

“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan-gon dapat mencipta keserasian dengan segera bagi menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya, Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak dan tidak lupa kepada pemain serta penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” katanya.

Pan-gon akan membimbing skuad Harimau Malaya buat kali pertama pada pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua aksi antarabangsa di Singapura iaitu bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura (26 Mac). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI