PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan beberapa amaran melibatkan cuaca buruk bakal berlaku di beberapa kawasan bermula hari ini hingga 28 Februari nanti.
MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan kategori pertama dan kedua bagi perairan negara ketika ini.
“Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku kawasan perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Ia melibatkan amaran kategori kedua,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Selain itu, bagi kategori pertama pula, kelajuan angin dianggarkan sekitar 40 hingga 50 kmsj dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 3.5 meter.
“Antara kawasan yang terlibat adalah sekitar perairan Johor Timur, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” ujarnya.
Sementara itu, MetMalaysia turut melaporkan paras air laut di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka mengalami peningkatan sehingga berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.
“Kejadian tersebut dijangkakan berterusan sehingga Sabtu nanti,” katanya lagi.
Dalam laporan lain, hujan lebat serta ribut petir sedang tertumpu di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sibu, Mukah, Kapit (Song, Kapit dan Belaga) serta Miri (Subis, Miri dan Marudi).
“Cuaca buruk itu diramalkan akan berlarutan sehingga pukul 6 petang hari ini,” jelasnya.
Tambah MetMalaysia, keseluruhan negeri Kelantan dan Terengganu serta beberapa kawasan di Pahang dan Johor bakal mengalami hujan berterusan sehingga 26 Februari 2022. – KOSMO! ONLINE