fbpx

AGC tolak representasi isteri Asmuni gugur pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Asmuni

AMPANG – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan isteri Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Adam Asmuni, Lyiana Roslee bagi menggugurkan tiga pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis kanabis dan menanam pokok dadah sama di sebuah rumah tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin pada sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Tertuduh (Lyiana) telah menghantar representasi (kepada AGC) dan ia ditolak manakala pertuduhan terhadapnya masih kekal di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952,” kata Nurul Ameera.

Dalam prosiding sama peguam Nur Mustanir Md. Nor yang mewakili Lyiana berkata pihaknya dimaklumkan bahawa laporan kimia telah siap namun sehingga kini kes masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Justeru saya (pembelaan) mohon satu tarikh akhir sebutan ditetapkan (sebutan) untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” kata peguam itu yang turut mewakili kes bagi pihak peguam Adam (tidak dapat hadir).

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Februari tahun lalu, Adam ,36, dan Lyiana ,35, didakwa di Mahkamah Majisret di sini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam pokok jenis Kanabis di sebuah rumah tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam dan Lyiana didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 1580.4 gram dan mengedar cecair berbahaya jenis dadah sama berisipadu 7870 milliliter (ML).

Kesalahan itu didakwa di lakukan di sebuah rumah di Duta Suria Residency, Ampang di sini pukul 7.30 malam pada 20 Januari 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama dibawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pasangan itu didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok Kanabis yang mana Kanabis itu diperolehi secara langsung atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6(A)(3) akta sama yang diibaca dibawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan seorang ahli politik ditahan selepas dipercayai mengedar dadah di Pudu selain menyerbu rumah suspek di Ampang.KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI