PADA 22 Januari lalu, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang merupakan Menteri Besar Johor mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri itu.
Pembubaran DUN dibuat selepas kerajaan Johor pada masa itu hanya memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi, manakala 27 kerusi di blok pembangkang.
Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.
Keputusan pembubaran DUN itu dibuat selepas cadangan yang dikemukakan Badan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Susulan itu, pada 9 Februari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala hari penamaan calon pula jatuh pada 26 Februari.
Ketika ini, jentera parti masing-masing sedang mengatur strategi dan menyusun senarai nama calon yang akan bertanding di 56 kerusi DUN.
Menjelang tarikh PRN Johor ini, rata-rata pengundi sedang memerhati tingkah laku selain menilai siapa calon yang akan bertanding.
Penganalisis Politik yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammed Fauzi Othman berkata, dalam demokrasi matang kita akan dapat lihat pengundi memilih calon berdasarkan prestasi dan aspirasi.
Jelasnya, ini mungkin akan berlaku apabila generasi baru yang kurang political allegiance, tetapi lebih praktikal dalam pemilihan mereka.
“Mereka bukan terikat lagi dengan idealisme tetapi lebih kepada pragmatisme. Sebagai contoh, dalam PRN Melaka, Adly Zahari daripada Pakatan Harapan (PH) telah menang pastinya kerana prestasi dan namanya berbanding trend yang telah memilih Barisan Nasional (BN) secara majoriti.
“Seiring perkembangan masa, rasanya trend ini akan berkembang. Maklumat juga memainkan peranan penting.
“PRN Melaka amat terhad dalam strategi kempen dan saya difahamkan bahawa kempen dalam talian juga kurang berkesan di sana,” katanya.
Muhammed Fauzi berkata, pengundi muda pula kini lebih celik teknologi dan peka tentang apa yang berlaku.
Persoalannya, sama ada mereka mahu terlibat dalam proses demokrasi atau sudah hilang kepercayaan kepada sistem tersebut.
Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, kebenaran berkempen bersemuka dilihat akan memberi impak positif kepada semua parti.
“Kalau dilihat parti telah umum senarai calon-calon mereka menggunakan saluran media dan ini adalah langkah awal berkempen secara maya.
“Selepas SPR mengeluarkan kebenaran berkempen secara bersemuka, kita dapat lihat jentera parti akan lebih agresif kerana jentera dapat bertemu secara terus pengundi-pengundi dalam memperkenalkan calon mereka,” katanya.