BANGKOK – Kerajaan Thailand bakal mengupah pesohor media sosial dan selebriti dalam usaha memberi inspirasi kepada pasangan muda untuk mempunyai anak, lapor laman berita The Thaiger kelmarin.
Kementerian Kesihatan Awam mengetuai usaha tersebut berikutan laporan bahawa kadar kelahiran di Thailand menurun ke paras terendah dalam tempoh 50 tahun lalu.
Dahulu, rata-rata wanita Thailand akan mempunyai lima orang anak. Disebabkan kebimbangan mengenai lebihan penduduk, kerajaan melancarkan kempen pada 1972 yang difahamkan sebagai ‘Lebih ramai bayi, lebih banyak kemiskinan’.
Bagaimanapun kini, kadar kelahiran yang menurun memberi ancaman kepada masa depan ekonomi Thailand.
Menurut Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Thailand, kadar kelahiran yang rendah boleh membawa kepada masalah pada masa depan seperti kekurangan buruh dan kurang hasil.
Idea itu mendapat tindak balas apabila orang ramai mengatakan bahawa kerajaan harus memberi perhatian dalam menyelesaikan krisis ekonomi kerana itu penyebab mengapa orang ramai mengelak daripada mempunyai anak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Satit Pitutecha, berkongsi bahawa kadar kelahiran rendah adalah topik nasional. Menurut beliau, ada baiknya apabila orang ramai berkongsi pendapat mereka mengenai kempen itu.
Tambah beliau, idea untuk mengupah pesohor media sosial hanya salah satu daripada rancangan mereka dan terdapat banyak langkah lain yang kerajaan rancang untuk diambil dalam menyelesaikan masalah berkenaan.
Menteri itu juga membincangkan kos sara hidup dan bagaimana kerajaan merancang untuk menjadikannya lebih berkemampuan kepada keluarga untuk membesarkan anak. – Agensi