KLANG – Tiga lelaki termasuk warga asing yang rancak memunggah arak seludup antara lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan tempat letak kereta berpagar terkedu apabila diserbu dalam kejadian di Taman Klang Jaya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kesemua suspek yang ditahan berusia 23 hingga 32 tahun.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan menerusi Ops Kontraband itu dilakukan hasil risikan PPM Pelabuhan Klang selama sebulan terhadap aktiviti pengedaran minuman keras tidak bercukai khususnya di daerah ini.
Katanya, lokasi berkenaan dijadikan port bagi aktiviti pemunggahan dari kenderaan induk iaitu lori kepada sub kenderaan untuk pemasaran sindiket berkenaan.
“Ketika serbuan, tiga orang lelaki termasuk warga India berada di belakang lori sedang memunggah pelbagai minuman keras ke lori yang lain.
“Hasil pemeriksaan turut mendapati pemunggahan turut dilakukan ke sebuah MPV jenis Toyota Estima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, nilai rampasan minuman keras dan kenderaan dianggarkan RM653,534,98.
Jelas Shamsol, kesemua tangkapan dan barangan rampasan dibawa ke pangkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -KOSMO!ONLINE