fbpx

Tampak anggun dengan fesyen sesuai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAJU berpotongan ‘oversized’ sesuai buat mereka yang mahu mengikut trend

Oleh FAIZAL HAMID

KINI, apa yang paling menjadi keutamaan adalah gaya ekspresi individu serta luahan rasa dalam berfesyen yang menyerlahkan keperibadian si pemakainya.

Sememangnya aliran fesyen memberikan kita pelbagai panduan untuk memantapkan gaya supaya lebih menarik, yakin dan kreatif terhadap diri sendiri dan apabila berhadapan dengan masyarakat.

Paling penting kita perlu bijak memilih.

Antara panduan untuk kelihatan hebat pada hari-hari penting adalah dengan membuat sedikit perubahan pada penampilan anda.

Pakailah sesuatu yang selalunya anda tidak biasa pakai, contohnya seperti tali pinggang atau aksesori unik atau baharu.

Jika berani bereksperimentasi, pilihlah rona terang dan neon trend era 80-an yang kembali popular kini.

Padanan warna hitam masih boleh digunakan sebagai pelengkap gaya seperti tali pinggang, pumps atau sandal bertumit tinggi.

Sememangnya warna terang popular di pentas peragaan antarabangsa dan ia cukup trendy untuk siang dan malam.

Minggu ini, saya titipkan aliran gaya yang boleh dijadikan inspirasi untuk penampilan dari pagi hingga malam.

1. Jahitan kemas, rapi

Kemeja atau blaus sama ada potongan longgar dan besar (oversized) atau yang sama padan dengan bentuk badan hasil daripada potongan jahitan rapi serta kemas adalah antara gaya rekaan menarik sealiran trend terbaharu.

Pelbagai variasi potongan antaranya gaya desa (peasant) dengan lengan besar, lengan puffed, manakala kemeja oxford dipotong besar daripada kebiasaan.

Kini antara gaya yang paling menyerlah adalah maskulin atau girly.

Reka corak flora yang ringkas adalah antara pilihan tepat untuk gaya pagi hingga malam.

Sememangnya reka corak ini cukup kontemporari, segar, feminin dan romantik serta sesuai digayakan oleh semua wanita.

2. Bijak pilih rekaan

Skirt kembang punyai kuasa untuk memberikan ilusi bentuk yang lebih menarik.

Ia cukup menarik dalam rekaan yang pelbagai. Ia juga boleh menyembunyikan paha besar dan punggung yang lebar. Apa yang penting, anda perlu bijak memilih rekaan sesuai dengan bentuk tubuh.

3.Gaya anggun, klasik

Bagi musim ini, pereka menghasilkan gaun kaya dengan dekorasi dan perincian. Gaun pelbagai variasi warna dan mewah dihiasi ropol, tatahan labuci dan manik.

Bagi yang mahukan kelainan, dapatkan gaun yang penuh kilauan labuci dan kristal. Ia sudah cukup berkilau dan tidak perlu penambahan barang kemas.

Gaun syif yang berlabuci dapat menampilkan gaya anggun dan klasik. Pasti menyerlahkan diri anda dan memikat sesiapa yang memandang.

RONA terang sesuai buat mereka yang mahu bereksperimen dengan gaya.

4. Aura maskulin

Rekaan seluar potongan lebar dengan perincian menarik dapat memberikan penumpuan pada bahagian bawah pinggang.

Anda boleh bereksperimen dengan lipatan (pleats), tetapi elakkan lipatan yang lebar jika anda agak rendah dari segi ketinggian. Pilihan fabrik satin juga perlu dielakkan jika anda tidak berani bereksperimentasi.

Padankan seluar yang punyai aura maskulin dengan blaus feminin.

Dalam pada itu, antara rekaan menarik adalah blaus diperbuat daripada sifon dengan colar peter pan dan lengan gelembung. Untuk lebih gaya, padankan seluar rona terang dengan blaus bercorak.

Anda boleh bereksperimentasi dengan kombinasi warna, tetapi jangan keterlaluan, kerana takut nampak pelik.

5. Elak aksesori berlebihan

Bagi yang gemarkan fabrik satin, untuk kelihatan lebih anggun, elakkan aksesori berlebihan.

Istimewanya satin, ia tidak perlu aksesori berlebihan, dan cantik digayakan dari siang hingga ke malam.

Untuk lebih menyerlah keanggunan, pilih satin rona permata. Perlu diingat, rekaan perlu sederhana untuk lebih menyerlah.
—————————————————————————————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI