fbpx

Tajuddin gagal saman fitnah Khalid, NSTP, KiniTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tajuddin.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman gagal dalam kes saman fitnahnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, The New Straits Times Press (M) Bhd. dan KiniTV Sdn. Bhd. berhubung kenyataan yang dikeluarkan Tajuddin dalam insiden di Parlimen enam tahun lalu.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd.Tahar menolak saman tersebut atas alasan kenyataan yang dibuat Khalid dan disiarkan oleh dua syarikat media itu tidak bersifat fitnah.

“Jika dilihat kepada kronologi kes secara keseluruhan, kontroversi dalam kes ini bermula dari ucapan seksis plaintif (Tajuddin) pada prosiding parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh (Teresa Kok).

“Kenyataan yang dibuat plaintif selaku Ahli Parlimen Pasir Salak dan juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (ketika itu) adalah tidak wajar dan mencemarkan institusi Parlimen yang merupakan salah satu institusi tertinggi negara,” kata Latifah.

Mahkamah menolak saman fitnah tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan penuh didengar dan disampaikan kepada pihak-pihak terlibat melalui emel. Perkara itu kemudian disahkan peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili Khalid.

Menurut penghakiman ringkas tersebut, tindakan saman oleh Tajuddin selaku plaintif adalah berkaitan dengan dua sidang media yang dibuat oleh Khalid (defendan pertama) pada 21 November dan 24 November 2016.

“Kes ini berlaku dan berpunca dari ucapan yang dibuat oleh plaintif sendiri di Parlimen pada 21 November 2016 semasa sidang Parlimen yang mana plaintif telah mengeluarkan satu kenyataan, antara lain yang seksis, dan menggunakan bahasa tidak mengikut peraturan Parlimen (unparliamentary) dalam ucapannya sewaktu sidang berkenaan, ” kata Latipah.

Mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk plaintif mengungkapkan perkataan kesat (vulgar) tersebut kepada Ahli Parlimen Seputeh yang pada masa itu tiada timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu.

Tambahnya, tindakan Tajuddin enggan menarik balik kenyataan seksis dan mengejek ahli-ahli parlimen pembangkang (ketika itu) juga telah menimbulkan provokasi terhadap Khalid.

Sementara itu, berhubung defendan kedua (NSTP), mahkamah mendapati laporan yang dibuat pada sidang parlimen terbabit, merupakan laporan yang saksama dan tepat mengenai sesuatu mesyuarat awam (sidang parlimen).

“Mahkamah berpuas hati bahawa tiada niat jahat  dalam terbitan yang dibuat,” kata penghakiman itu.

Sementara dua video yang disiarkan oleh defendan ketiga iaitu KiniTV pada 24 November 2016 ia tidak mempunyai sebarang unsur fitnah.

Ini kerana laporan video tersebut adalah bersifat neutral dan adalah menjadi tanggungjawab profesional kewartawanan untuk melaporkan berita yang neutral dan benar terutama yang melibatkan kepentingan awam.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak memfailkan saman itu pada 26 April 2017 dengan menamakan Khalid, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan KiniTV Sdn. Bhd. selaku defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Tajuddin selaku plaintif mendakwa, Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November 2016.

Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 November 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 November tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di YouTube yang boleh diakses oleh orang ramai.

Dakwa Tajuddin lagi, kedua-dua kenyataan itu antara lain bermaksud, beliau tidak layak menjadi ahli Parlimen dan bertindak bertentangan dengan ajaran serta budaya Islam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI