PUTRAJAYA – Prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara akan diumumkan dalam tempoh yang terdekat.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi SOP tersebut sebelum ia diumumkan.
“Walaupun terdapat peningkatan kes serta bilangan kemasukan ke wad hospital, strategi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pemberian dos penggalak menunjukkan keberkesanan dalam memberi perlindungan daripada jangkitan lebih teruk.
“Majlis ini ambil maklum KKM dalam proses akhir untuk memuktamadkan SOP bagi pembukaan sempadan negara untuk persetujuan Jemaah Menteri. Pengumuman pembukaan sempadan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar MPN yang turut ditayangkan secara maya di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pada mesyuarat MPN sebelum ini telah dibangkitkan mengenai cadangan pembukaan sempadan dan ketika itu telah disyorkan supaya ia dibuka segera pada 1 Mac.
“Namun keputusan majlis dibawa ke Kabinet dan KKM diminta menyediakan SOP. Jadi saya harap ia lebih longgar dan lebih mudah supaya tidak akan membawa kesan kepada pembukaan sempadan. Lagi cepat dibuka, bagi saya amat baik untuk pemulihan ekonomi negara.
“Saya harap pengumuman akan dibuat dalam tempoh tak berapa lagi dan tarikh sebenarnya, kita tunggu sajalah bila masa ia diumumkan,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, pembukaan sempadan negara juga wajar dipercepatkan bagi mengelakkan kos besar ditanggung negara malah, sesetengah negara walaupun belum menyelesaikan masalah vaksinasi sudah membuka sempadannya.
“Jangan lambat, lambat sehari kos bagi negara adalah amat besar ditanggung. Cepat buka, untung kepada Malaysia amat banyak. Kita tahu hari ini Australia sudah buka (sempadan) biarpun negara itu ke belakang dari Malaysia berhubung proses vaksinasi.
“Mereka masih belum selesai (vaksinasi) tetapi kita sudah selesai iaitu antara negara 10 teratas berjaya uruskan. Bagaimanapun, apabila proses membuka sempadan, kita agak lambat,” katanya. – KOSMO! ONLINE