PASIR MAS – Seorang kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan bersama ibunya yang hamil sehingga menyebabkan bayinya terkeluar daripada rahim di Kampung Banggol Stor, Repek di sini Jumaat lalu selamat menjalani pembedahan semalam.
Mangsa, Nurul Iman Maisara Mohd. Khairi, 6, menjalani pembedahan membuang tempurung kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian selama tiga jam dan selesai pada pukul 7 pagi
Bapanya, Mohd. Khairi berkata, anaknya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM selama dua hari dan akan menjalani rawatan susulan di hospital berkenaan.
Berita berkaitan: Ibu sarat mengandung maut, anak terkeluar daripada rahim
“Saya merayu kepada semua untuk mendoakan anak saya kembali sembuh seperti biasa.
“Nurul Iman menjadi kekuatan buat keluarga saya kerana perwatakannya saling tak tumpah seperti arwah isteri saya (Nor Haliza Abdul Yazaib),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Berita berkaitan: Ibu sarat mengandung maut, suami sempat ajar mengucap
Kosmo! baru-baru ini melaporkan, seorang ibu yang sarat mengandung maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal lain di Kampung Banggol Stol.
Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, Nor Haliza meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bayi lelaki di dalam kandungannya terkeluar dari rahim selain mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.
Nahas itu turut mengorbankan seorang lagi penunggang motosikal, Muhamad Shakim Mohd. Zaki, 18.