LONDON – Perubahan ketara terutama pada tayar jentera Formula Satu (F1) pada musim 2022 nanti memberi kerisauan bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada ketua pasukan menjelang saingan yang membuka tirai pada 20 Mac ini di Bahrain.
Salah satu perubahan terbesar dalam saingan F1 2022 ialah ukuran tayar yang lebih lebar digunakan musim ini bersaiz 18 inci berbanding musim lalu hanya 13 inci.
Pemandu McLaren, Lando Norris berkata, penggunaan tayar 18 inci baharu daripada Pirelli akan membuatkan setiap pelumba terkesan terutama ketika bersaing di litar jalan raya seperti di Monaco dan Singapura.
“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk membiasakan diri dengan cepat terutama beberapa perubahan yang berlaku pada musim ini.
“Setiap pemandu mempunyai tempoh tiga hari untuk melakukan sesi ujian di Sepanyol dan Bahrain. Pastinya bukan mudah ketika anda sedang membiasakan diri dengan gaya pemanduan yang berlainan.
“Pastinya akan menjadi sukar terutama penggunaan tayar yang lebih besar dan juga fairing yang berbeza ini. Mungkin akan menjadi masalah terutama perlumbaan di Monaco dan Singapura nanti,” kata Norris.
Sementara itu, Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner turut melontarkan pendapat yang sama apabila mengakui pasukannya akan berdepan masalah terutama terutama ketika melakukan hentian pit.
“Ia pasti memberi kesan ketika pemandu memasuki pit. Pastinya tayar dan roda akan menjadi lebih berat dan memberi masalah kepada kru pasukan. Setelah berjaya meraih rekod dunia hentian pit 1.82 saat, saya fikir sukar bagi kami untuk melakukan sekali lagi.
“Apa pun, ia adalah melibatkan penyesuaian serta masa. Kami akan bekerja keras untuk melakukan hentian pit dua saat walaupun berdepan dengan tayar 18 inci ini,” kata Horner. – AGENSI