fbpx

Mahkamah batal larangan buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan perintah larangan buku bertajuk ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman yang difailkan penulis dan penerbit buku itu berhubung pengharaman buku tersebut dua tahun lalu.

Prosiding hari ini adalah secara talian yang dihadiri peguam-peguam, Edmund Bon dan Micheal Chia mewakili pemohon manakala Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai  responden pertama dan kedua diwakili Peguam Persekutuan, Mohammad Salehuddin Md. Ali.

Dalam penghakimannya hakim itu berkata, tindakan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku tersebut adalah satu tindakan tidak masuk akal.

Ini kerana buku itu telah berada dalam pasaran lebih dari tujuh tahun dan penulisnya tidak diberikan peluang untuk untuk didengar (right to be heard) dan menjawab segala dakwaan berkaitan buku tersebut.

Hakim itu turut menyatakan tiada sebarang bukti atau asas yang menjustifikasikan tindakan Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku berkenaan.

“Beliau (Menteri Dalam Negeri) perlu dalam fikirannya bahawa buku yang dipertikaikan adalah berkaitan dengan persoalan yang timbul berhubung homoseksualiti dari pandangan agama Kristian.

“Selepas membaca buku tersebut dan menilainya dari sudut objektif, mahkamah ini berpandangan buku tersebut mengandungi pandangan penulis sebagai seorang penganut Kristian.

“Benar atau tidak, merujuk kepada pandangan penulis, buku tersebut sepatutnya dihadkan kepada agama itu sahaja walaupun terdapat beberapa pandangan, penilaian dan tanggapan penulis yang subjektif,” kata hakim itu selain turut menyatakan elemen subjektif tidak boleh dijadikan asas dalam mengharamkan buku berkenaan.

Dalam pada itu hakim itu turut menyatakan selepas tujuh tahun penerbitannya, responden gagal menunjukkan bukti telah berlakunya gangguan terhadap ketenteraman awam.

Selain itu, hakim Noorin memberitahu mana-mana individu yang terlibat dengan mana-mana perintah pengharaman perlu diberikan keadilan dalam proses kehakiman dan peluang yang mencukupi untuknya membela dirinya.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman pemohon dengan kos RM5,000.

Terdahulu, penulis buku berkenaan Ngeo Boon Lin dan penerbitnya Chong Ton Sin selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 17 Februari 2021 dengan menamakan Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden bagi membatalkan perintah larangan bertarikh 27 November 2020.

Menurut afidavit yang difailkan, kedua-dua pemohon mendakwa adalah sesuatu yang tidak rasional kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini yang dicetuskan oleh buku itu sejak diterbitkan lebih tujuh tahun lalu.

Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku “Gay is OK! A Christian Perspective” di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuatkuasa 27 November 2020. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI