fbpx

Luahan Pembaca: Awasi anak-anak, jangan sampai mereka hisap dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketagihan dadah mampu membuatkan keluarga porak peranda dan seseorang hilang pertimbangan termasuk membunuh.

SAUDARA PENGARANG,

BANYAK kisah menyentuh hati dan sedih berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan perbuatan kejam si anak kepada orang tuanya.

Ada yang tergamak menengking dan menendang si bapa, malah lebih kejam lagi, ada yang sanggup ‘menyembelih’ si ibu tanpa belas kasihan.

Kisah-kisah itu bukanlah lakonan dalam filem mahupun drama, tetapi kisah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita.

Pokok pangkalnya, kedua-dua kejadian itu berpunca daripada hilangnya pertimbangan si anak yang didorong daripada ketagihan dadah.

Asbab menagih dadah, ramai keluarga yang porak peranda dan berpecah belah. Dadah juga menjadikan seorang yang bijak pandai menjadi insan paling keji di mata masyarakat.

Sebab itu jugalah, dadah menjadi satu-satunya musuh negara yang masih gagal ditewaskan sejak negara mengecapi kemerdekaan.

Sebagai seorang bapa yang bimbangkan nasib anak bangsa kita, saya sangat berharap agar kerajaan mencari penyelesaian terbaik dalam membendung aktiviti penagihan dadah.

Ini bukan hanya semata-mata kepada aspek penguatkuasaan, sebaliknya aspek bimbingan juga perlu dipergiat.

Sebagai contoh, kempen-kempen antidadah yang pernah diperkenalkan secara aktif di sekolah suatu ketika dahulu perlu diwujudkan semula.

Ataupun, kita hanya perlu menanti kepada keputusan kerajaan untuk memperkenalkan akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.

Sesungguhnya, pengenalan akta baharu tersebut sekurang-kurangnya dapat menyekat generasi akan datang kepada budaya merokok, yang akhirnya menjerat anak kita kepada kancah penagihan dadah.

MAN ALFIAN
Klang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI