fbpx

Kewujudan kartel dalam PDRM tak dapat ditentusahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
logo PDRM
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana yang didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador.

Pendedahan mengenai wujudnya gerakan daripada sekumpulan pegawai PDRM yang mahu menjatuhkan Abdul Hamid serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka dibuat beliau pada 18 dan 22 Mac 2021.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, siasatan berhubung pendedahan tersebut telah selesai dijalankan dan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh EAIC tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam PDRM sebagaimana yang didakwa oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM ke atas pegawai-pegawai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Sidek berkata, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan.

Jelasnya, ia kerana keterangan yang diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat atau pertukaran diamalkan PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses teliti dan mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi serta dicampur tangan pihak luar.

“KPN merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan pelantikan, kenaikan pangkat atau pertukaran pegawai kanan PDRM kepada SPP perlu mendapat persetujuan daripada KPN.

“Kedudukan Tan Sri Abdul Hamid Bador selaku KPN tidak dapat digugat kerana pelantikan KPN adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI