KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak perempuan patah kaki kiri apabila kenderaan dinaiki melanggar sebuah lembu yang dikatakan melintas jalan secara mengejut dalam kejadian di Jalan Kelab, Kampung Kuantan di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut, kanak-kanak itu dikenali Nur Humaira Mohamad Azim, 8, cedera selepas tersepit di bahagian penumpang bersama ibunya Effa Efzanie Mohamad Zakli, 38.
Difahamkan semasa kejadian mereka yang menaiki van jenis urvan dipandu bapa kanak-kanak itu dalam perjalanan ke Tanjong Karang dari Arau, Perlis.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 1.25 pagi.
Katanya, pihaknya yang tiba sembilan minit kemudian mendapati terdapat dua beranak tersepit di bahagian penumpang.
“Bomba mengambil masa selama 15 minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan kanak-kanak perempuan itu dipercayai patah kaki.
“Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan selanjutnya,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE