fbpx

Inovasi mesin cetakan baju tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (kanan) menerima baju-T yang dihasilkan menerusi inovasi Flexsilk pada pameran 100 Hari Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Disember tahun lalu.

Bermula dengan niat ingin membantu seorang pelajar susah mencari pendapatan tambahan dengan mencetak baju, Mohd. Firdaus Mohd. Noh, 37, mula memikirkan inovasi untuk menghasilkan mesin cetakan baju berkos rendah, tetapi kompleks.

Hasil kreativitinya mencipta mesin cetakan baju yang kompak dan berintegrasi, dia berjaya menghasilkan sebuah set peralatan asas cetakan baju berasaskan silkscreen iaitu Flexsible Silkscreen Printing Table (Flexsilk).

Katanya, dia pernah membiarkan mesin itu terbiar selama setahun di dalam setor pada 2018 gara-gara gagal dalam satu pertandingan inovasi.

“Pada masa itu, saya tiada modal untuk mengembangkan inovasi Flexsilk,” katanya.

FLEXSILK mampu menghasilkan 100 helai baju sehari dan dapat mencetak empat helai
secara serentak.

Bagaimanapun, penantiannya membuahkan hasil apabila menerima geran pembangunan menerusi Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6) pada 2020 yang mana Yayasan Inovasi Malaysia ialah pelaksana dana daripada SME Corp. Malaysia.

Katanya, melalui geran HIP6, dia mendapat bantuan untuk kos pembangunan dan pengeluaran prototaip sebanyak RM48,000 bagi menghasilkan 12 unit Flexsilk.

Ujarnya, ia dihasilkan untuk komuniti B40, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal terpilih di Kuantan, Bera, Temerloh dan Jerantut.

“Peserta daripada komuniti berkenaan yang mendapat latihan asas cetakan baju di bengkel Koperasi Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kuantan Berhad menjana pendapatan tambahan 20 hingga 50 peratus sebulan setelah dua bulan menggunakan Flexsilk.

“Setelah mendapat geran ini, saya tekad membangunkan inovasi dengan mengorbankan cuti, masa belajar dan masa untuk keluarga,” katanya yang merupakan pelajar pasca-siswazah (PhD) Universiti Kuala Lumpur dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Menurutnya, Flexsilk diinovasikan hasil daripada penambahbaikan fungsi meja cetakan baju sedia ada di pasaran dengan ciri-ciri menarik dan kompak.

Katanya, ia berkebolehan menghasilkan 100 helai baju sehari dan dapat mencetak empat helai serentak.

MOHD. FIRDAUS (tengah) menunjukkan baju-T yang dicetak menggunakan mesin Flexsilk.

“Ciri khas Flexsilk adalah reka bentuk mesra OKU, terutama golongan berkerusi roda dan mempunyai masalah ketinggian termasuk kanak-kanak.

“Ia membuka peluang perniagaan kepada golongan B40 seperti ibu tunggal, belia dan golongan OKU berkerusi roda, sekali gus menjana pendapatan isi rumah,” ujarnya.

Jelas Mohd. Firdaus, mereka yang berminat membuka perniagaan cetakan baju menggunakan Flexsilk sepenuh masa boleh menjana pendapatan minimum RM4,000 sebulan.

“Saya kini menyiapkan lapan buah lagi mesin itu yang boleh ditempah dengan Koperasi KKTM Kuantan Berhad selaku ejen pemasaran,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, mesin Flexsilk telah mengambil bahagian dalam pameran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dari 9 hingga 12 Disember tahun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mana dia telah mencetak kemeja-T yang tertera nama beliau.

“Harga mesin ini antara RM2,500 hingga RM3,500 sebuah, bergantung kepada fungsi spesifikasi seperti penambahan internet of thing yang turut digunakan untuk model terbaharu.

MESIN Flexsilk diinovasi daripada penambahbaikan fungsi meja cetakan baju
sedia ada di pasaran dengan ciri menarik.

“Perancangan masa depan adalah membuka cawangan pameran Flexsilk di setiap negeri dengan menawarkan pakej jualan, latihan, peralatan dan servis,” katanya.

Ujarnya, semasa membuat pameran sempena Malaysia International Tech Summit di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu Oktober tahun lalu, syarikat berpengkalan di negara tersebut berminat terhadap produk itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI