SEBERANG PERAI – Hanya 57 laporan diterima oleh Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera berhubung kes Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) daripada 564,220 kanak-kanak yang telah diberikan vaksin Covid-19 setakat ini.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, hanya seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital dipercayai akibat masalah asma yang teruk selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata, kanak-kanak itu yang sememangnya mempunyai masalah asma bagaimanapun kini telah keluar dari hospital dan berada dalam keadaan sihat sepenuhnya.
“Untuk pengetahuan, AEFI ini boleh dianggap seperti gejala sampingan ringan sahaja akibat proses vaksinasi seperti demam, lenguh-lenguh, pening-pening, merah-merah dan sebagainya.
“Gejala itu biasanya akan hilang sepenuhnya selepas satu atau dua hari kemudian,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin di Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah, Nibong Tebal di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, ketika ini Sarawak mendahului kadar penerimaan vaksinasi untuk kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun diikuti oleh Melaka, Lembah Kelang, Perak dan Pulau Pinang dengan kelima-limanya merekodkan jumlah peratusan antara 20 hingga 30 peratus.
Katanya, tiga negeri dengan kadar vaksinasi terendah pula ialah Kelantan, Terengganu dan Sabah dengan kadar vaksinasi di bawah 10 peratus ketika ini.
Menurut Dr. Noor Azmi, sehingga semalam, sekolah jenis kebangsaan Cina merekodkan antara 31 hingga 74 peratus pemberian vaksin untuk kanak-kanak berbanding sekolah kebangsaan iaitu antara 5.9 hingga 21.9 peratus. – KOSMO! ONLINE