fbpx

Hajat tak kesampaian, impian Farisha Iris tunai umrah lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARISHA sepatutnya berangkat menunaikan ibadah umrah bersama ibu dan bapanya kelmarin.

PETALING JAYA – Walaupun sudah melakukan persiapan penuh sejak tahun lalu, namun penyanyi dan pelakon Farisha Iris terpaksa reda apabila impiannya untuk menunaikan umrah tidak kesampaian.

Farisha, 23, sepatutnya berangkat ke Tanah Suci bersama ibu bapanya kelmarin.

Bagaimanapun, hasrat tersebut lebur gara-gara dia menjadi mangsa jangkitan Covid-19 beberapa minggu sebelum tarikh keberangkatannya ke Mekah.

Farisha atau nama lengkapnya Farisha Asmadi dijangkiti Covid-19 pada 1 Februari lalu dan menamatkan kuarantin pada hari ke-10 iaitu 10 Februari.

“Saya tempah tiket untuk ke Mekah sejak November tahun lalu dan sudah menyusun jadual kerja dengan baik.

“Sepatutnya, saya akan habiskan projek kerja iaitu penggambaran sebuah drama setakat bulan Januari sahaja. Bulan Februari saya gunakan untuk kuarantin diri sebelum kerjakan ibadah umrah.

“Nak dijadikan cerita, saya tiba-tiba positif Covid-19 pada 1 Februari. Sedangkan sepatutnya penggambaran drama tersebut tamat pada 19 Februari. Jadi di situ sudah mengganggu jadual kerja semua pihak,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Online semalam.

Tambah penyanyi lagu Hello itu, selepas tamat kuarantin, dia melakukan ujian PCR dan hasilnya masih positif tetapi dibenarkan keluar seperti dimaklumkan petugas kesihatan.

Pun begitu, atas dasar tanggungjawab, dia membatalkan perancangan ke Mekah, namun berlaku salah faham dengan ejen yang menguruskan perjalanan umrahnya.

“Tiba-tiba Jumaat lalu, ejen telefon saya beritahu pasal jadual perjalanan. Rupa-rupanya ada salah faham dengan ejen yang tak batalkan tiket saya.

“Jadi saya pergi lagi sekali buat ujian PCR keesokan harinya (Sabtu), sampai buatkan saya jadi dilemma antara nak teruskan perancangan atau tidak apabila keputusan negatif.

“Waktu itu saya fikir, Allah memang nak beri rezeki untuk jejak kaki ke Mekah. Cuma apabila difikirkan semula, tak boleh pergi sebab kerja masih belum selesai. Hal ini melibatkan ramai pihak, jadi akhirnya saya putuskan untuk tak pergi,” ujarnya.

Apa yang lebih menyedihkan Farisha, perancangan menunaikan umrah merupakan hadiah hari lahirnya yang ke-23 pada April depan daripada ibunya.

“Paling sedih sebab ini hadiah hari lahir saya. Tambah pula teringat masa beli jubah sama-sama dengan mama. Beli baju, kasut, kaca mata, stoking, selipar dan kasut. Malah kami pergi kursus umrah bersama-sama.

“Itu belum lagi cerita ujian yang saya hadapi sepanjang merancang nak ke sana contohnya ketika ibadah umrah disekat, kemudian kes Covid-19 tinggi.

“Tapi saya tak salahkan sesiapa, ini memang ujian daripada Allah. Mungkin Dia nak bagi hadiah lebih baik selepas ini, amin,” luahnya.

Walaupun sedih kerana tidak dapat menjejakkan kaki ke sana bersama kedua orang tuanya, namun hati Farisha sedikit terpujuk apabila dihadiahkan sebuah telefon iPhone 13 Pro oleh ibunya.

“Masa hantar mama dan papa di lapangan terbang kelmarin, saya tahan menangis, pakai kaca mata hitam sebab tak nak ‘kantoi’ sedih.

“Selepas menghantar mereka, saya terus masuk set lokasi sebab kerja tetap kerja. Cuma sebelum babak bermula, saya menangis. Masuk saja babak, kena profesional.

“Walaupun sedih sangat-sangat, tapi hati terpujuk sedikit sebab mama hadiahkan saya telefon. Dia beli di lapangan terbang kelmarin, mungkin untuk pujuk saya. Alhamdulillah, ini pun satu rezeki juga. Mana nak cari ibu sebaik dia,” kata Farisha. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI