fbpx

Gol penyamaan Faizal kecewakan Maybank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL (kiri) menyelamatkan kem THT menerusi gol penyamaan 2-2 ke atas Maybank pada aksi MHL di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Penyerang prolifik Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari menyelamatkan maruah skuad juara Piala Sumbangsih itu apabila meledak gol penyamaan 2-2 bertemu Maybank pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) sebentar tadi.

Gol pada sembilan minit terakhir aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu memastikan THT mengelak daripada mengalami kekalahan pertama dalam saingan MHL musim ini.

Dalam aksi itu, Maybank yang lebih banyak menguasai permainan, terlebih dahulu menjaringkan gol pertama menerusi jaringan padang Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-16.

Bagaimanapun, THT yang dikendalikan Roslan Jamaluddin bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Nabil Fiqri Mohd. Noor menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30.

Pendahulu senarai penjaring terbanyak liga ketika ini, Muhammad Razie Abd. Rahim membuktikan kepakarannya mengambil pukulan sudut penalti menerusi gol kedua Maybank pada minit ke-43.

Razie kini sudah mengumpul enam gol peribadi, membuktikan keputusan Maybank tepat mendapatkan khidmatnya daripada Universiti Kuala Lumpur yang menarik diri daripada saingan musim ini.

Ketika Maybank semakin hampir untuk meraih tiga mata, Faizal tampil membuktikan kelasnya yang tersendiri dengan gol penyamaan buat THT pada minit ke-51.

Ketua Jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam kecewa dengan keputusan seri berkenaan kerana anak-anak buahnya hadir dengan misi meraih kemenangan.

“Saya tetap berpuas hati dan berbangga dengan semangat juang yang ditampilkan semua pemain dalam perlawanan ini walaupun memang kami mengimpikan tiga mata,” katanya.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi menyaksikan TNB Thunderbolts menang 2-1 ke atas Nurinsafi Sporting. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI