fbpx

Gencatan senjata dalam perbincangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video edaran Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan seorang penerjun payung Rusia semasa latihan bersama angkatan tentera Rusia dan Belarus di kawasan berhampiran bandar Baranovichi di Belarus pada 19 Februari lalu. - AFP

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin bersetuju untuk berbincang mengenai kemungkinan melaksanakan gencatan senjata dengan Ukraine, lapor stesen penyiaran Al Jazeera, semalam.

Persetujuan itu dicapai selepas satu perbualan telefon antara Macron dan Putin di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di sempadan Rusia-Ukraine.

Menurut Macron, Kremlin memberi lampu hijau untuk kedua-dua pihak berjumpa dengan kadar segera bagi membincangkan langkah-langkah ke arah gencatan senjata.

Sejurus selepas persetujuan itu, Macron turut menghubungi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang berjanji akan menghormati apa bentuk gencatan senjata yang bakal dilaksanakan.

Susulan insiden itu, Zelenskyy menggesa agar rundingan dengan Rusia disambung semula di bawah naungan Organisasi untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) untuk mengisytiharkan gencatan senjata segera.

“Kami mahukan usaha mempergiatkan semula proses damai. Kami menyokong penubuhan segera Kumpulan Hubungan Trilateral (TCG),” katanya merujuk kepada TCG yang merangkumi Ukraine, Rusia dan OSCE.

Susulan panggilan itu, OSCE berkata ia akan mengadakan mesyuarat luar biasa pada hari Isnin untuk mencari jalan untuk meredakan keadaan.

Semasa perbincangan menerusi telefon  selama 105 minit dengan Macron, Putin berkata punca peningkatan ketegangan adalah provokasi yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Ukraine.

Putin juga mengulangi seruan agar Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)  mengambil serius tuntutan Rusia agar Ukraine tidak dibenarkan menyertai Barat untuk jaminan keselamatan.

Namun dalam masa sama, beliau yakin kedua-dua pemimpin percaya adalah penting untuk mempergiatkan usaha mencari penyelesaian melalui cara diplomatik.

Pejabat Macron dalam satu kenyataan memberitahu bahawa menteri luar kedua-dua negara akan bertemu dalam masa beberapa hari akan datang. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI