fbpx

Erra Fazira pun mahu jadi YouTuber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRA FAZIRA

TIGA dekad bergelumang dalam industri seni hiburan tanah air, sudah banyak cabang seni dikerjakan pemilik nama lengkap, Fazira Wan Chek itu.

Baik dalam bidang lakonan, nyanyian bahkan pengacaraan, Erra Fazira, 48, sudah menterjemah hampir semuanya. Beliau selayaknya masuk dalam kelompok figura tempatan yang sarat pengalaman seni.

Bukan itu sahaja, apabila berdepan dengan kecaman, ibu tunggal anak satu itu juga tidak mudah melatah.

Beliau tenang mendepani apa yang terbentang di hadapan pintu karier seninya. Erra antara teladan terbaik buat artis generasi sekarang.

Atas alasan sebegitulah, biarpun sudah lama bukan muda remaja, namanya masih mahal, bahkan terus dijulang orang industri. Peminatnya juga tidak putus berkembang menzahirkan apresiasi kecintaan buat Erra.

TIDAK mahu ketinggalan dalam arus semasa, Erra kini dalam usaha membangunkan saluran YouTube peribadi sebagai satu lagi platform perkongsian dan interaksi dengan peminat.

Buka akaun YouTube

Menjadi artis zaman milenial, Erra juga tidak mahu ketinggalan mengikut perkembangan dan trend semasa. Beliau bersedia untuk mempunyai saluran YouTube sendiri sebagaimana pendekatan yang diambil kebanyakan selebriti popular masa kini.

Pelantun lagu Pasrah itu tidak keberatan berkongsi kandungan bermanfaat kepada peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan.

“Ramai artis yang sudah bergerak hebat dengan saluran YouTube mereka sendiri, manakala saya pula baru sahaja nak bermula.

“Kandungan dalam YouTube nanti akan lebih tertumpu kepada gaya hidup dan motivasi.

“Tidak terlalu serius kerana saya mahu beri manfaat kepada penonton dan peminat.

“Pada masa sama, saya tidak kisah untuk kongsi kehidupan peribadi di rumah, namun perlu ada garis panduannya yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Primadona filem Melayu itu ditemui HibGlam pada sidang akhbar dan tayangan filem terbaharu lakonannya berjudul Rumah yang turut dibintangi Puteri Balqis dan Mak Jah.

PADA usia 48 tahun, Erra Fazira terus unggul dan sebati dengan jolokan Primadona Filem Melayu.

Kualiti filem, juri

Bercakap tentang Rumah arahan sutradara mendiang Kay, Erra terbuka andai karya terbaharunya tersebut mendapat kecaman khalayak andai tidak menepati piawaian sebuah filem berkualiti.

“Kritikan adalah asam garam dalam dunia seni. Ada masa orang akan suka dan ada masa penonton tidak berpuas hati dengan sesebuah filem.

“Sebagai pelakon, saya sudah melakukan yang terbaik dan jika ada kritikan dari sudut lakonan, itu adalah perkara yang saya perlu beri perhatian,” katanya.

Rumah, sebuah filem bernuansa seram mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal akan menemui penonton di pawagam tanah air bermula 24 Februari.

Melanjutkan bicara, soal kerancakkan program hiburan mengetengahkan juri dalam kalangan individu bukan profesional turut menjadi topik perbualan. Kata bekas juri All Together Now Malaysia itu, penglibatan juri bukan profesional dalam mana-mana pertandingan berbentuk hiburan atau realiti adalah perkara yang wajar.

Katanya, juri bukan profesional mewakili suara audiens dan memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam penjurian.

“Kadang-kadang, stesen televisyen mahukan dua orang juri profesional. Kalau dalam program nyanyian, juri yang tahu bab muzik dan seorang lagi mewakili suara orang ramai.

“Ada banyak kriteria yang penyiar tetapkan. Mereka mahu berlaku adil, terutama dalam soal kualiti. Seperkara lagi, apa orang mahukan iaitu elemen komersial. Kalau semua juri serius, atmosfera (pertandingan) akan jadi sangat tegang dan tiada ada elemen komersial,” tuturnya.

ERRA tidak melihat kehadiran juri bukan profesional dalam sesebuah program hiburan sebagai sesuatu
yang salah.

Elemen hiburan

Tegas Era, dalam mengadili sesuatu pertandingan realiti, memang perlu ada elemen hiburan dan perihal terbabit bukanlah sesuatu menyimpang.

“Penjurian perlu ada lawak dan santai. Bagi saya, tidak menjadi masalah soal budaya penjurian menggunakan khidmat juri bukan ‘profesional’.

“Pun begitu, yang lebih ditekankan dari sudut markah adalah daripada juri yang serius atau profesional.

“Yang (juri) macam main-main, kadang-kadang markah mereka tak kira pun,” katanya.

Sebelum menggulung perbualan, Erra yang mula mewarnai industri hiburan tanah air sejak tahun 1992 memberi peringatan bahawa menjadi penghibur bukan sekadar tentang kualiti bakat.

“Kalau hanya ada bakat, tapi tak tahu bagaimana nak jual dan bawa diri di posisi mana, itu pun masalah.

“Jadi perlu ada keseimbangan dari segi bakat dan nilai komersial,” jelas Erra.

ERRA bersedia untuk mempunyai saluran YouTube sendiri sebagaimana pendekatan yang diambil kebanyakan selebriti popular masa kini. Pelantun lagu Pasrah itu tidak keberatan berkongsi kandungan bermanfaat kepada peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI