PARIT BUNTAR – Dua buah bot nelayan tempatan jenis pukat kenka ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kerana melanggar syarat sah lesen.
Kedua-dua buah bot itu ditahan pada kedudukan 8.5 dan 8.7 batu nautika Kuala Kurau kira -kira pukul 1.50 tengah hari semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, dua bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan semasa menangkap ikan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati ianya dikendalikan oleh dua kru termasuk tekong manakala bot yang kedua dikendalikan oleh tekong sahaja.
“Kesemua kru yang berumur 57 hingga 65 tahun itu gagal membuktikan mereka adalah pemilik bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kesemua kru bersama bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan sebanyak 300 kilogram ikan baja telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Ketiga-tiga orang kru itu telah dilepaskan dengan jaminan polis, namun siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 8(b)Akta Perikanan 1985 kerana langgar syarat sah lesen. – KOSMO! ONLINE