PETALING JAYA – Sistem pilihan raya demokrasi yang diamalkan di Malaysia mempunyai ciri-ciri bebas dan adil bagi mewujudkan peluang sama rata dalam memilih calon atau parti yang layak diberikan mandat.
Namun peristiwa perubahan kerajaan di luar pilihan raya daripada Mac 2020 hingga August 2021 sedikit sebanyak telah mengubah landskap politik negara.
Namun lewat ini, mekanisma pilihan raya kembali digunakan dalam mendapatkan mandat untuk memerintah seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor yang bakal berlangsung pada bulan ini.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, memahami proses pilihan raya berupaya memberi manfaat kepada masyarakat berkaitan apa yang diperlukan.
“Setelah mengkaji sedalam-dalamnya, proses pilihan raya perlu menepati kehendak demokrasi yang bebas, hadir dan telus.
“”Hak yang terlibat dalam pilihan raya perlulah dalam keadaaan yang lurus dan tidak ada pihak yang merasakan tidak mendapat peluang yang sama rata di dalam urusan pilihan raya.
“Ini adalah penting bagi setiap individu supaya memahami hal-hal berkaitan demokrasi, hak asasi, hak warganegara dan pilihan raya,” katanya ketika Majlis Resensi Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir secara maya hari ini.
Rashid yang merupakan pengarang kepada buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia itu berkata, akhir-akhir ini terdapat perbaharuan dalam proses pilihan raya.
“Misalnya perubahan kalayakan pengundi dan calon diawalkan kepada usia 18 tahun dan ini adalah satu perubahan yang amat berat kepada landskap politik negara ini.
“Kemudian, baru baru ini, kita turut mencadangan untuk memberikan ruang kepada pengundi-pengundi yang tinggal di Singapura mengundi melalui pos. Ini adalah satu perkara yang dialu-alukan. Namun kita juga membuat cadangan yang lebih luas peluang untuk mengundi secara fizikal di perwakilan Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, pengarang bersama, Dr. G. Manimaran berkata, pilihan raya adalah suatu proses yang dinamik dan berubah dari semasa ke semasa mengikut undang-undang dan mekanisma yang melibatkan ribuan pengundi baru.
“Selain mempunyai pengundi yang berpengetahuan, pemegang taruh di dalam pilihan raya juga turut perlu diberikan panduan agar proses yang dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Resensi ini juga sebenarnya bertujuan bagi meningkatkan dedikasi amalan pilihan raya demokrasi dalam kalangan setiap pengamal pemegang taruh.
“Sebahagian maklumat ini bukan sahaja untuk ahli-ahli politik atau calon-calon mahupun wakil-wakil rakyat sedia ada malahan untuk semua. Bahkan terdapat segelintir daripada mereka ini yang masih tidak peka dengan peraturan pilihan raya,” katanya.
Manimaram menjelaskan, secara lazimnya, pemegang taruh adalah terdiri daripada SPR itu sendiri dan Yang di-Pertuan Agong termasuk Sultan, Raja dan Gabenor di peringkat negeri.
Tambahnya lagi, setiap pengundi perlu mengetahui setiap hak dan tanggungjawab setiap calon, agen serta fungsi dan peranan seorang wakil rakyat yang telah dipilih dalam pilihan raya bagi supaya amalan demokrasi diperkukuhkan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin mengulas buku berkenaan sebagai sumber yang amat komprehensif mengenai pilihan raya bermula tahun 1959 dan kemudian.
Bagaimanapun, Shamsul Amri menegaskan pilihan raya di Malaysia tidak bermula sebagai satu sistem demokrasi sebaliknya hanya mendorong untuk melakukan kawalan sosial di kawasan yang berpenduduk padat.
“Kita perlu berhati-hati dan lebih teliti dalam mengaitkan pilihan raya dengan amalan demokrasi kerana pengenalannya di Malaysia bukanlah bertujuan seperti itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE