PETALING JAYA – Sejak kebelakangan ini, jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak mula menunjukkan peningkatan terutama bagi kategori dua hingga lima.
Perkara ini perlu dipandang serius terutamanya dalam kalangan ibu bapa agar lebih peka dalam memantau tahap kesihatan anak-anak serta mengawal pergerakan mereka.
Menerusi perkongsian seorang pegawai perubatan, Muhamad Na’im Ab Razak memberitahu, berdasarkan pemerhatian yang dilakukannya kebanyakan kanak-kanak yang positif Covid-19 tahap kritikal mempunyai penyakit kronik atau kekurangan gizi seimbang.
“Salah seorang pesakit Covid-19 yang saya dan pasukan rawat adalah pesakit bukan warganegara dari suku Pelauh.
“Dia adalah penduduk tanpa kewarganegaraan yang mempunyai riwayat sosial yang tidak memuaskan.
“Badannya kurus kering dan saya mengesyaki bahawa dia turut mempunyai masalah kekurangan gizi,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Jelasnya, kanak-kanak tersebut dibawa dalam keadaan kritikal dan mengalami gangguan pernafasan serta mempunyai tahap kesedaran yang rendah.
“Kerana itu, dia terpaksa ditidurkan dan pemeriksaan lanjutan mendapati bahawa paru-paru kirinya dipenuhi air.
“Saya memasukkan tiub ke dalam dada bagi mengeluarkan cecair tersebut dan mendapati lebih satu liter cecair berwarna hitam dan berbau busuk keluar.
“Secara jujurnya, ini adalah kali pertama saya berdepan dengan keadaan ini,” kongsinya.
Tambah Muhamad Na’im, keadaan tersebut bukanlah komplikasi yang menjadi kebiasaan terjadi bagi kalangan pesakit Covid-19.
“Sukar untuk menentukan samada dia ada penyakit lain sebelum ini atau keadaan itu adalah komplikasi langsung Covid-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut mencadang agar pengambilan suntikan vaksin perlu diwajibkan kepada semua golongan sasaran sekiranya kes jangkitan Covid-19 semakin teruk dalam kalangan kanak-kanak.
“Jika kes teruk Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat, pendirian saya mungkin berubah kepada mengesyorkan agar ia diwajibkan kepada semua golongan sasaran,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE