fbpx

‘Acuan sudah ada, siapa mahu isi?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sadio Mane (kiri) dan Pandelela.

MANUSIA mungkin tidak boleh meramal masa depan. Namun, usaha keras yang dilakukan hari ini boleh merubah masa depan.

Sebagai contoh, bintang Liverpool, Sadio Mane, 29, kelahiran Bambali, Senegal. Lahir dalam keluarga susah, ibu bapanya tidak pernah menghantarnya ke sekolah.

Semangatnya untuk bermain bola sepak berkobar-kobar selepas Senegal berjaya mara ke peringkat suku akhir pada penampilan kali pertama Piala Dunia 2002. Mane pada masa itu berusia 10 tahun.

Pada usia 15 tahun, selepas memujuk ibu bapanya dan bapa saudaranya, Mane bersendirian berhijrah ke Dakar untuk mempelajari bola sepak. Apabila berita dia mahu ke bandar tersebar di kampungnya, seluruh penduduk turut menyumbang wang. Seolah-olah mereka sudah melihat ‘api kecil’ di dalam diri Mane untuk bergelar bintang Senegal suatu hari.

Kejayaan terbarunya apabila Senegal merangkul kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022 pada 7 Februari lalu. Media sosial memperkatakan cerita luar biasa Mane di dalam dan luar bola sepak.

Pemenang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019 itu menyumbang membina infrastruktur seperti hospital, sekolah, masjid dan stadium di kampung asalnya.

Mungkin Mane faham pembinaan kemudahan seperti stadium mungkin boleh mewujudkan 10 lagi pemain bola sepak sepertinya atau lebih baik lagi daripadanya.

Jika Senegal bertuah ada Mane, Malaysia juga mempunyai atlet berwibawa dan memberikan inspirasi.

Penulis masih teringat ketika bertugas di Sarawak pada 2012, pada masa itu tengah rancak penganjuran Olimpik London 2012.

Berita paling menggembirakan apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg berjaya merangkul gangsa bagi acara 10 meter platform.

Lebih manis, sejarah mengukir nama beliau sebagai pemenang medal pertama atlet wanita bagi sukan Olimpik pada usia 19 tahun.

Ibu Pandelela Rinong, Hartini Lamim dalam temu bual dengan penulis memberitahu, sepanjang berada di London, anak keduanya itu berada dalam keadaan agak tertekan berikutan bahu kanan cedera.

“Nama unik Pandelela itu dipercayai membawa tuah kepada Nonong (nama timangan Pandelela).

“Perkataan ‘Pande’ dan ‘Rinong’ itu mempunyai maksud tersendiri. Perkataan ‘pandey’ dalam bahasa Sarawak bermaksud pandai, manakala perkataan Rinong dalam bahasa Bidayuh bermaksud tenang,” katanya.

Hartini menjelaskan, pada usia 14 tahun Pandelela sudah meninggalkan rumah, berjauhan dengan keluarga untuk mengejar impiannya.

“Dia mahu membuat keluarga bangga dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Bertuah atau tidak, penulis percaya bagi mencapai kejayaan tersebut, tubuh besi hati waja tidak boleh ditempa dalam sehari. Kita sudah ada acuannya, namun perlu kesinambungan meneruskan legasi sedia ada.

Beri pendedahan sejak usia muda, siapkan segala prasarana. Kita tidak mahu negara hanya gah menganjurkan sukan berprestij, tetapi tiada peserta atau atlet negara bersaing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI