ALOR GAJAH – Kira-kira 70 buah rumah di dua daerah di negeri ini terjejas selepas dilanda ribut dalam kejadian lewat petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, antara kawasan terjejas adalah di Belimbing Dalam di sini dan beberapa lokasi dalam daerah Melaka Tengah termasuk Krubong, Tanah Merah, Lanjut Manis dan Kampung Ladang.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Belimbing Dalam mendapati kira-kira 30 buah rumah terjejas dengan kebanyakannya dalam keadaan bumbung rosak akibat diterbangkan ribut.
Seorang penduduk, Rahmat Alus, 51, memberitahu, ketika kejadian dia bersama lima orang ahli keluarga termasuk ibu berusia 81 tahun sedang berehat di ruang tamu sebelum tiba-tiba bumbung rumahnya tercabut dan terbang.
“Kami sekeluarga berlari menyelamatkan diri ke anjung rumah, saya terus tidak berani nak pandang ke atas.
“Saya nampak bumbung bahagian belakang rumah kami diterbangkan ribut sebelum jatuh kira-kira 50 meter di rumah jiran,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, ketika kejadian berlaku dia hanya mampu melaungkan azan sambil berpelukan sesama ahli keluarga kerana terlalu terkejut susulan bencana itu adalah yang pertama kali berlaku sejak lebih 30 tahun menetap di situ.
Sementara itu, Shahrul Jaapar, 39, pula berkata, dia bersama-sama adiknya serta tujuh anak saudara berlari ke ruang tamu rumah selepas mendengar bunyi dentuman bumbung jatuh.
“Adik saya baharu sahaja habis tempoh berpantang, dia cepat-cepat mendukung menyelamatkan bayinya berusia sebulan lebih.
“Saya pula dapatkan enam anak saudara yang lain untuk berkumpul di ruang tamu rumah sambil berharap bumbung di bahagian itu tidak tercabut diterbangkan ribut,” katanya. -KOSMO! ONLINE