IPOH – Usaha sewajarnya perlu dilakukan oleh pihak berkaitan untuk memastikan seladang yang menjadi haiwan ikon negeri Perak tidak diancam kepupusan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masalah utama ialah bagaimana hendak mencari habitat berkenaan yang semakin sukar ditemui.
Menurut beliau, justeru pihak berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Veterinar negeri diminta mencari jalan bagi usaha pemuliharaan.
“Memang haiwan seladang ini berhadapan dengan kepupusan, jadi usaha untuk membiaknya perlu dilakukan demi memastikan ia tidak pupus.
“Bukan senang nak tau di mana habitat seladang. Kita pun tak tau di mana nak biakkan, jadi bantuan pihak berkaitan diperlukan,” ujarnya.
Beliau ditanya demikian semasa ditemui pemberita pada sidang akhbar Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak di sini.
Media baru-baru ini mendedahkan, seladang atau spesies lembu liar yang terdapat di Semenanjung Malaysia berdepan kepupusan jika tiada usaha yang serius dilakukan untuk menyelamatkannya.
Seladang juga dikatakan akan mengalami nasib sama seperti badak sumbu Sumatera yang kini pupus sepenuhnya.
Spesies ini kini berada dalam keadaan yang terancam iaitu hanya selangkah di belakang harimau Malaya yang dikategorikan sebagai amat terancam.
Difahamkan, cuma tinggal tiga ekor seladang di Zoo Taiping dan Safari Malam selepas kematian baka asal termasuk ibunya yang mati empat tahun lalu.
Habitat ini juga dikesan di Taman Negeri Royal Belum di Gerik.
Seladang yang dikategorikan daripada spesies lembu liar terbesar itu boleh mencecah berat melebihi 1,000 kilogram dan mempunyai jangka hayat hingga 25 tahun. – KOSMO ONLINE