PUTRAJAYA – “Perjuangan saya untuk anak lelaki selama 10 tahun membuahkan hasil. Alhamdulillah, hari ini adalah sangat bermakna dan pengiktirafan ini penting untuk kami sekeluarga.”
Itulah luahan Adlyn Adam Teoh, 41, seorang daripada tiga ibu yang mendapatkan dokumen kewarganegaraan daripada Jabatan Pendaftaran Kerajaan (JPN) untuk anaknya hari ini.
Dia yang juga pakar keselamatan siber bersama dua lagi ibu, Myra Eliza Mohd. Danil, 30, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Devi hadir ke JPN hari ini bagi mendapatkan dokumen kewarganegaraan.
“Anak saya dilahirkan di Hong Kong manakala suami saya berasal dari China. Sewaktu kelahirannya, dia tidak mempunyai kewarganegaraan…China tak boleh dan Malaysia pun tak boleh, sekali gus berdepan masalah untuk membuat pasport.
“Selepas itu, kami mengambil keputusan membawa anak saya pulang ke Malaysia selepas mendapatkan kebenaran dan bermulalah perjuangan saya. Saya tak boleh nak masukkan anak saya bersekolah di Kementerian Pendidikan selain berdepan masalah-masalah lain,” katanya ketika ditemui di JPN di sini hari ini.
Pada mulanya, ketiga-tiga ibu tersebut kecewa apabila dimaklumkan dokumen kewarganegaraan tidak dapat dikeluarkan berikutan masalah ketetapan pada mesin pencetak dan mereka yang ditemani Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers), Suriani Kempe keluar dengan perasaan hampa.
Mereka datang ke JPN pukul 2.30 petang dan keluar kira-kira dua jam setengah selepas itu namun, harapan kembali cerah apabila dimaklumkan oleh pihak jabatan bahawa ia boleh dikeluarkan sekali gus perlu menunggu kembali.
Dalam pada itu, Adlyn yang berasal dari Sarawak berkata, dia melahirkan rasa syukur apabila akhirnya ia dapat dikeluarkan walaupun terpaksa menunggu lama gara-gara masalah mesin pencetak.
Pengiktirafan yang diperolehi itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Disember lalu yang menolak permohonan kerajaan dan memerintahkan kerajaan mengeluarkan dokumen kewarganegaraan kepada kanak-kanak tersebut yang lahir di luar negara oleh ibu mereka yang merupakan rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE